Taklimat Semasa Perkampungan Sivik 2008
GADONG, Rabu, 6 Ogos – Pengetahuan dan profesionalisme hasil produk pendidikan berkualiti perlu menunjang kepada penyertaan yang berjaya di kalangan setiap individu dalam pembangunan masyarakat yang sentiasa berkembang.
Pengarah Penerangan, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni antara lain menyatakan demikian pada sesi perbincangan bersama para peserta Perkampungan Sivik Mahasiswa/ Mahasiswi Negara Brunei Darussalam Seberang Laut 2008.
SALAH seorang peserta Perkampungan Sivik mennyuarakan soalan kepada Pengarah Penerangan dalam sesi Perjumpaan bersama Pengarah Penerangan. Foto oleh :- Hernie Suliana Haji Othman.
Dalam sesi perbincangan yang diadakan di Seameo Voctech itu, Pengarah Penerangan seterusnya mengongsikan bahawa modal insan, pembangunan sumber tenaga manusia, anjakan pradigma dan persekitaran yang kondusif bagi kemajuan merupakan antara faktor yang membawa kepada sesuatu kejayaan.
Lebih 100 peserta terdiri dari mahasiswa dan mahasiswi yang menerima biasiswa Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad serta persendirian menyertai perkampungan lima hari yang bermula pada 3 Ogos lepas.
Perkampungan sivik anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad antara lain bertujuan untuk memberi kefahaman dan maklumat terkini mengenai hal ehwal negara dan kerajaan.
Selain itu ia juga bertujuan memupuk dan menanam semangat kenegaraan yang berteraskan falsafah MIB serta memberikan ruang untuk berbincang dan memahami keperluan semasa bagi kemajuan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang.
PENGERUSI KOKAMI, Pg. Haji Mohd. Salleh bin Pg. Haji Kamaluddin ketika memberi taklimat kepada peserta Perkampungan Sivik 2008.
Terdahulu sebelum itu para peserta telah mendengar ceramah Koperasi Kampung dan Mukim Negara Brunei Darussalam (KOKAMI) Berhad disampaikan oleh Pengiran Haji Mohd. Salleh Pengiran Haji Kamaluddin.
Menurut Pengiran Haji Mohd. Salleh, tujuan koperasi berkenaan ditubuhkan adalah untuk memajukan kepentingan sosioekonomi ahli-ahlinya menurut prinsip-prinsip koperasi.
((Oleh : Bolhassan Haji Abu Bakar, Pelita Brunei)

Leave a Reply