Skip to content

IHPEXPO 2008

August 17, 2008

Negara Brunei Darussalam telah berjaya menjadi pertemuan Ekspo Produk Halal Antarabangsa 2008 (Ihpexpo) sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-62 yang berlangsung selama empat hari bermula 14 hingga 17 Ogos lepas bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Ekspo tersebut setentunya memberi peluang baik bagi mereka yang mahu menembusi dan mengetahui lebih lanjut tentang pasaran halal sedunia.

Pasaran halal global dianggarkan bernilai sekitar 2.13 trilion dolar Amerika setahun. Ini merangkumi kedua-dua kategori produk makanan dan bukan makanan. ASEAN yang di bentuk oleh sepuluh negara mempunyai jumlah penduduk lebih 500 juta dan hampir setengah daripadanya adalah Muslim. Jelas, rantau ini berada dalam kedudukan baik untuk menjadi pusat bagi perkembangan dan pertumbuhan pasaran halal seluruh dunia.

Ihpexpo bermatlamat untuk menjadikan Brunei sebagai pusat halal antarabangsa, berjaya menarik jualan yang diperolehi sepanjang ekspo dijalankan mencecah BND21 ribu, kenaikan sebanyak sebelas peratus berbanding pada tahun lepas.

Kenaikan dapat dilihat dari tahun kesetahun dari penyertaan peniaga-peniaga antarabangsa yang meningkat sebanyak 60 peratus iaitu dari 39 syarikat pada tahun lepas kepada 64 pada tahun ini yang dihasratkan menjadi platform kepada peniaga tempatan agar dapat memasuki pasaran dunia antarabangsa.

Para pengunjung ke ekspo tersebut dianggarkan mencecah hampir 45 ribu orang sehingga lewat petang hari terakhir expo tersebut diadakan.

Peningkatan ini ketara sekali jika dibandingkan dengan keramaian pengunjung pada tahun lepas yang berjumlah 24 ribu orang sahaja.

Pemangku Pengarah Pertanian, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Puan Hajah Normah Suria Hayati binti PJDSM Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri menjelaskan, mengadakan ekspo dan persidangan serentak secara tidak langsung menempatkan Negara Brunei Darussalam di pasaran halal dunia yang amat bermanfaat kepada negara.

Ekspo dan persidangan berkenaan tegasnya merupakan platform pelaburan kepada para peniaga sekali gus dapat meningkatkan kemahiran mereka melalui seminar-seminar yang diikuti di sepanjang ekspo berlangsung.

Persidangan Pasaran Halal Antarabangsa 2008 ini juga membantu menyediakan asas kepada para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan produk-produk tempatan mema- suki pasaran antarabangsa.

Menurut Hajah Normah Suria Hayati, peningkatan jumlah penyertaan dalam IHPE 2008 menandakan pihak kerajaan berupaya meningkatkan penyertaan dan keyakinan syarikat-syarikat tempatan untuk memasukkan produk halal mereka sama ada dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dengan perbincangan mengenai penubuhan Akademi Produk Halal oleh pelbagai pihak tetapi inisiatif Brunei untuk menjadikan akademi itu sebagai salah satu topik utama dalam persidangan yang telah diadakan menunjukkan akan kesungguhan negara ini untuk menubuhkan dan menjadi peneraju utama dalam pasaran halal global.

Perkenalkan produk tempatan

Dalam memperkenalkan produk-produk halal keluaran tempatan, Negara Brunei Darussalam perlu memperluaskan promosi ke luar negara dengan lebih giat menyertai ekspo- ekspo bertaraf serantau dan antarabangsa.

Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim berkata, dengan peryertaan negara kita ekspo dan pameran ke luar negara setentunya dapat mema- sarkan produk-produk dengan jenama Brunei Halal dengan lebih meluas.

“Dalam memasarkan produk-produk keluaran tempatan kita ke luar negara akan dapat meneroka peluang-peluang pelaburan dengan para pengusaha di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat ketika ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI.

Bagi pengusaha tempatan yang berjaya, Pengiran Haji Hassan bin PMSLDSI Pengiran Haji Damit berpendapat Ekspo Produk Halal Antarabangsa 2008 yang dianjurkan oleh KPSSU perlu diteruskan di masa-masa akan datang kerana ia dapat mendedahkan mengenai Jenama Brunei Halal.

Menurutnya, dengan membawa para peniaga dari luar dan dalam negeri ke persidangan ini, kita berhasrat akan dapat menyediakan makanan-makanan halal secara meluas dan senang diperolehi kepada semua umat Islam di dunia.

Awang Jafari bin Haji Abdul Timbul, Setiausaha Agung dan selaku Ketua Pegawai Perancang, Koperasi Kampung dan Mukim (KOKAMI Berhad), ketika ditemui berkata dengan penyertaan pertama kali KOKAMI dalam ekspo ini merupakan satu penghormatan bagi koperasi ini memperkenalkan beberapa produk yang sudah dirancangkan, iaitu menggalakkan ahli-ahli Koperasi menanam pokok di panggil ‘Jatropha’ iaitu pokok jarak hidupan hutan liar yang didapati di kawasan Borneo.

Menurutnya KOKAMI telahpun memesan sebanyak dua tan biji pokok ‘Jatropha’ dan dijangka dibawa ke negara ini sedikit masa lagi. Biji pokok tersebut akan dijual kepada ahli-ahli koperasi untuk ditanam di sekeliling rumah mereka. Harga yang ditawarkan ialah $50 ke atas.

Awang Jafari menjelaskan, menanam modal sebanyak $50 bagi menanam pokok ini jika ianya berhasil dianggarkan akan memberi pulangan antara $500- $600 kepada ahli. Biji-biji yang ditanam akan mengambil masa dalam 6 bulan sehingga tumbuh dan matang dan daripada hasil-hasil inilah yang akan dibeli oleh Koperasi, ianya akan diproses dengan menghasilkan minyak bio diesel, iaitu minyak kereta dan sabun untuk kesihatan, manakala sisa buangannya akan digunakan untuk makanan haiwan.

Dengan pendedahan di eskpo ini, KOKAMI telah berjaya meningkatkan jumlah ahli-ahlinya dengan kemasukan lebih 200 orang ahli baru. Manakala penjualan bagi produk di atas kini masih dibukakan kepada ahli-ahli.

Dengan adanya ekspo dan persidangan berprestij seperti merupakan kaedah yang amat berharga dan jika digunakan secara bijak boleh membawa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana khasnya dan kepada Negara Brunei Darussalam umumnya.

(Oleh:-Dk. Hjh Fatimah dan Bolhassan bin Haji Abu Bakar, Pelita Brunei)

From → News

One Comment
  1. Hi!

    Really good information, I have bookmarked your site, perhaps you would like to take a look at http://www.bio-partners.co.uk as we have some information you may find usefull in the members area – Keep up the Good Work!

    Tim

Leave a comment